Isu Calon PM, Shafie Sahkan Bertemu Anwar

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan sudah bertemu dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkembangan politik semasa, baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan sudah bertemu dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkembangan politik semasa, baru-baru ini.

Shafie berkata, beliau sudah menyatakan pendiriannya mengenai cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencalonkannya sebagai Perdana Menteri dalam perjumpaan itu.

“Saya nyatakan mengenai pendirian berhubung perkara itu yang dicadangkan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Shafie tidak menjelaskan secara terperinci jika pertemuan di Parlimen itu adalah satu perjumpaan rasmi atau bersifat santai.

Katanya, dijangkakan satu mesyuarat akan diadakan Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan hari ini.

“Saya rasa mesyuarat akan diadakan pada hari ini dan mereka akan membincangkannya dalam parti mereka.

“Memang beliau (Anwar) ada berkata sesuatu tetapi kita akan lihat bagaimana dengan perbincangan itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Tambah Shafie, cadangan Tun Dr Mahathir untuk mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri seterusnya mampu menjadi jalan penyelesaian ke arah penyatuan.

“Cadangan itu untuk mengelakkan perbalahan antara penyokong Mahathir dan Anwar, kemungkinan kalau boleh saya satukan, ia langkah yang baik.

“Bagaimanapun, kita lihat dulu keadaan. Lagipun saya tidak terlalu memberi tumpuan mengenai perkara itu.

“Ada perkara yang jauh lebih penting bagi kita untuk membolehkan Malaysia dan Sabah ditadbir dengan baik kerana rakyat perlukan bimbingan dan pimpinan.

“Kita tak seharusnya terlalu banyak berpolitik dan berdebat mengenai siapa yang menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Anwar berikrar memberikan sokongan kepada kerajaan Sabah di bawah pimpinan Shafie.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2151