Yamani Hafez Dilantik Pengerusi FELCRA

Yamani Hafez dilantik sebagai Pengerusi FELCRA baharu berkuatkuasa hari ini.

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dilantik sebagai Pengerusi FELCRA Berhad (FELCRA) yang baharu, berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang percaya pelantikan Yamani Hafez itu mampu membawa inovasi dan inisiatif baharu bagi memacu FELCRA.

Katanya, pelantikan ini selari dengan visi dan misi Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menggalakkan dan memacu pertumbuhan usahawan tempatan.

“Alhamdulillah, saya percaya Yamani Hafez akan memperkenalkan semangat inovasi dan inisiatif tinggi melalui pengalaman luas beliau di sektor korporat, dalam memperhalusi hala tuju FELCRA berdasarkan usaha usaha transformasi yang dimulakan pengurusan kanan diketuai Mohd Nazrul Izam Mansor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yamani Hafez menggantikan Datuk Shabudin Yahya yang melepaskan jawatan berkenaan selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-undang) pada 6 Julai lalu.

Shahbudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dilantik menduduki jawatan Pengerusi FELCRA pada 20 Mei lalu.

Yamani Hafez, 42, anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkelulusan Sarjana Muda Perdagangan dari University of Canterbury, New Zealand pada tahun 2000.

Beliau juga penerima ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 2012 dan berpengalaman dalam bidang pemasaran teknologi maklumat.

Di samping itu beliau juga menjadi Pengerusi Seaoffshore Group dan pemegang saham terbesar Handal Energy Berhad yang tersenarai di Bursa Malaysia.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1020