Siasat Ejen Ganggu ADUN Kerajaan Sabah – Azis Jamman

Datuk Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera terhadap pihak yang didakwa ‘mengganggu gugat’ ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan Sabah.

Ahli Parlimen Sepangar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ini berikutan gesaan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang menyatakan laporan polis telah dibuat oleh Adun-Adun kerajaan. Beliau juga berharap agar siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menghantar mereka untuk mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan.

Katanya, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk beberapa bukti perbualan whatsapp antara ejen yang menganggu Adun kerajaan.

“Kita yakin pihak berkuasa di negara ini bersikap adil dengan mengamalkan integriti yang tinggi bagi menyelesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat.

“Dalam tempoh sama kita difahamkan ada beberapa Adun yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah.

“Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, malah sudah berulang kali dan ini dilihat menggangu gugat ketenteraman individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pengagihan 90 ekor lembu korban kepada masjid serta surau di Dewan Undangan Negeri Karambunai (Dun) Karambunai dan Inanam dalam Parlimen Sepanggar, di Kampung Warisan Inanam di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, beliau yakin Adun kerajaan di Sabah tetap berpegang kepada prinsip ‘Teguh dan Setia’ kepada Ketua Menteri Sabah sekaligus bermaruah untuk mempertahankan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Adun Karambunai Azhar Matussin berkata, pihaknya akan berusaha untuk bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk memastikan tindakan bagi mewartakan Kampung Warisan, Inanam sebagai kampung yang sah  dalam tempoh terdekat.

“Kita yakin Ketua Menteri Sabah akan memberikan persetujuan serta kelulusan bagi memastikan kawasan tanah kampung Warisan Inanam ini akan diwartakan perkampungan yang sah sebelum menjelang PRU-15 nanti,”katanya.

Turut hadir adalah Pemimpin Pembangunan Masuarakat (PPM) Dun Inanam, Latip Mopuas mewakili Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1454