Rakyat Boleh Pilih Pemimpin Pada Pilihan Raya Yang Bakal Berlaku

Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Pilihan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan rakyat mempunyai kuasa untuk memberi mandat kepada pemimpin yang diyakini mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tempoh masa tiga tahun untuk Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu tempoh lama tetapi pelbagai faktor boleh menyumbang kepada pilihan raya pada bila-bila masa.

“Moratarium bakal tamat pada September ini dan tahun hadapan dijangkakan ekonomi akan terjejas dengan keadaan semasa, oleh itu tidak mustahil sekiranya berlakunya pilihan raya secara tiba-tiba,” katanya dalam sidang media selepas sesi Mesyuarat Bersama Presiden UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menjelaskan bahawa UMNO Sabah berbincang dengan Zahid tentang usaha untuk mengatur hala tuju UMNO dalam berdepan dengan pilihan raya akan datang.

“Kita berbincang tentang New Deal, iaitu satu perancangan baharu kita untuk kebaikan rakyat Sabah kerana presiden kita meminta supaya kita berfikir di luar jangka memandangkan norma masa kini yang memerlukan kita untuk kreatif dan berfikir secara lebih luas.

“Dalam New Deal ini, kita merangkakan beberapa perancangan yang akan kita tambah lagi nanti yang mana ini akan menjadi pengisian dalam manifesto kita pada pilihan raya akan datang tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, New Deal berkenaan termasuklah empat perkara iaitu pembangunan negeri Sabah akan diputuskan oleh Kerajaan Negeri dengan dana tunai daripada Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada perbendaharaan, agensi Persekutuan di Sabah akan dipegang oleh anak Sabah, Labuan akan dikembalikan sebagai sebuah daerah tambahan dibawah Kerajaan Negeri Sabah dan memastikan parti menguasai kerajaan bagi mengelakkan berlaku percanggahan di masa akan datang.

Sementara itu, Bung turut menafikan tuduhan tidak berasas daripada pihak tertentu yang mengatakan bahawa UMNO Sabah terlibat dalam gerakan yang menghasut Ahli Dewan Undangan Negeri Kerajaan Sabah untuk keluar dan memberikan sokongan kepada UMNO atau Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak terlibat dan tidak tahu perkembangan ini secara lebih lanjut tapi boleh saya katakan adalah UMNO Sabah berusaha untuk memperkuatkan parti adalah melalui pilihan raya.

“UMNO Sabah juga akan bawa permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak ke dalam mesyuarat perhubungan UMNO dan inilah proses kepada sesiapa saja yang mahu kembali menyertai UMNO Sabah yang mana ini akan dijadikan sebagai satu garis panduan,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1240