Anifah Dilantik Presiden Parti Sabah, Akan Kemuka Nama Baru

Anifah Aman (kiri) berucap pada perhimpunan agung Parti Cinta Sabah selepas dilantik sebagai presiden parti itu. Turut kelihatan timbalan presiden Wilfred Bumburing (kanan) dan naib presiden Ewon Ebin. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar, Anifah Aman dilantik sebagai presiden baru Parti Cinta Sabah selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu hari ini.

Parti tersebut meluluskan pindaan untuk menukar nama kepada Parti Kesedaran Rakyat Sabah, berserta simbol dan bendera baru.

Barisan kepimpinan baru PCS.

Perubahan itu perlu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebelum ia berkuat kuasa.

Anifah mengambil alih jawatan daripada bekas presiden Wilfred Bumburing yang dilantik sebagai timbalan presiden.

Pengerusi pengurus perhimpunan agung dwitahunan PCS itu Kalakau Untol memberitahu pemberita bahawa jawatankuasa pengurus memutuskan presiden baru akan hanya membuat kenyataan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi parti dalam masa terdekat.

Anifah berkata, beliau akan memaklumkan maklumat terperinci semasa pelancaran parti itu kemudian.

Untol berkata, parti itu kini menyaksikan gandingan antara pemimpin politik veteran dengan golongan profesional muda yang baru menyertai politik.

“Kebanyakan ahli Majlis Tertinggi merupakan bekas ahli Umno, PBS dan Upko, sementara yang lain merupakan profesional seperti peguam dan ahli akademik. Ia gandingan yang bagus.”

Antara ahli politik terkenal yang menyertai PCS adalah Ewon Ebin, bekas naib presiden Upko dan Marcus Mojigoh, bekas bendahari agung Upko.

Pengerusi pemilihan PCS Ansari Abdullah berkata, parti itu juga akan menubuhkan bahagian Parlimen mereka di seluruh negeri Sabah, iaitu selepas RoS meluluskan pindaan perlembagaannya.

“Kami juga akan menstruktur semula sayap Pemuda dan Wanita,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7839