24 Individu Dikompaun Ingkar SOP PKPP Di Tawau

TAWAU; 26 JULAI 2020 (Ahad) – Seramai 24 individu dikompaun masing-masing sebanyak RM1,000 atas kesalahan tidak patuh Standard Operating Procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan kerajaan semasa berada di premis makanan, malam semalam.

Operasi Bersepadu Patuh SOP PKPP yang turut membabitkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu telah memeriksa sebanyak 33 premis makanan di sekitar bandar Tawau.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran yang dihubungi berkata, kesemua individu dikompaun atas kesalahan tidak menjaga penjarakan sosial semasa berkunjung ke premis makanan.

Katanya, sebuah premis makanan turut didenda serta diarah tutup kerana tidak melaksanakan SOP serta tidak menjalankan tanggungjawab menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke premis terbabit.

Mengulas lanjut, Dr. G Navindran turut menasihatkan orang ramai, langkah menjaga penjarakan dan SOP penting bagi tujuan mengelak berlakunya jangkitan serta usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Dr. G Navindran turut menegaskan, operasi berkenaan akan dijalankan setiap hari secara berterusan memandangkan masyarakat dilihat mulai memandang ringan dan tidak patuh SOP sebagaimana yang sepatutnya dilaksanakan mengikut arahan kerajaan.

Katanya, tiada larangan bagi masyarakat untuk keluar makan di mana-mana premis makanan atau membeli belah, namun SOP yang telah ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi setiap masa terutamanya penjarakan sosial.

Operasi yang dijalankan lebih lima jam itu berakhir pukul 11.30 malam.

SumbeR: BESTAWAUfm

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *