
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Sabah sedang menerima pelbagai tawaran untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan nafsu seorang pemimpin politik untuk kembali berkuasa tertunai.
Pemimpin berkenaan dikatakan mengupah beberapa ejen untuk berkunjung ke kediaman setiap wakil rakyat tidak kira Parti Warisan Sabah (Warisan) atau DAP untuk menyampaikan tawaran wang ringgit dan jawatan kepada mereka.
Difahamkan, pagi ini, ADUN Elopura, Calvin Chong turut didatangi seorang lelaki yang mengetuk pintu rumahnya selama sejam untuk berjumpa dengannya.
ADUN berkenaan bagaimanapun tidak membenarkannya masuk sehinggalah lelaki itu beredar.
Calvin telah membuat satu laporan polis tentang perkara itu di balai polis Sandakan pagi ini.
Borneo Today akan membuat laporan susulan selepas laporan polis berkenaan selesai.
Sementara itu, ADUN Luyang, Ginger Phoong yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah mengakui turut menerima tawaran berkenaan.
Katanya, individu tertentu telah berjumpa dengannya dua hari lalu untuk memberikan tawaran dengan syarat beliau melompat parti.
“Itu adalah tawaran kepada saya untuk lompat ke sebelah sana, saya menolak tawaran itu saya beritahu mereka ini tidak sepatutnya dijadikan norma.
“Berhentilah daripada tindakan menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokratik, saya tidak akan mengkhianati mandat yang diberikan pengundi Luyang kepada saya,” katanya.
Ginger berkata, beliau akan terus menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sepanjang kemelut politik ini.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost