WARISAN Tidak Dapat Sambutan Di Sugut – James Ratib

ADUN Sugut Datuk James Ratib

KOTA KINABALU: Walaupun Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah parti peneraju Kerajaan Negeri, namun ia tidak mendapat sambutan di kawasan Sugut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, ini kerana pemimpin Warisan di Sugut adalah mantan pemimpin UMNO yang kalah bertanding dalam setiap pemilihan parti itu.

Beliau berkata, apabila pemimpin tersebut ditolak oleh ahli-ahli UMNO dan rakyat, maka mereka menyertai dan penubuhkan cawangan dan bahagian Warisan di kawasan itu.

“Pemimpin-pemimpin Warisan Sugut adalah mereka yang direject oleh rakyat.

“Justeru Warisan tidak mendapat sambutan dan tidak diterima oleh rakyat di kawasan Sugut walaupun ia adalah parti tunjang Kerajaan Sabah”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal pro Warisan BorneoToday yang mendakwa seramai 250 bekas penyokong James menyertai Warisan selepas hilang kepercayaan terhadap pemimpin itu.

Kesemua mereka membabitkan cawangan Kampung Kobambangan, Timpus, Sulit dan Musinggopu.

Mereka menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian Warisan Beluran merangkap Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Aspah Abdullah Sani dalam satu majlis di dewan serbaguna Kampung Kobambangan, Paitan, kelmarin.

James berkata, dakwaan 250 bekas penyokongnya menyertai Warisan juga tidak berasas dan angka itu sengaja direka oleh Warisan.

“Berdasarkan laporan dari penyokong saya, kurang dari 100 orang menghadiri majlis itu dan mereka berada di dewan itu kerana telah dimaklumkan ada penyampaian Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Orang-orang kampung yang hadir telah ditipu bulat-bulat. Turut hadir ialah Ketua Kampung dan 2 Pengerusi MPKK, mereka juga adalah mantan penyokong Warisan”, tegasnya.

James yang mengisytiharkan keluar UPK0 pada 15 Jun 2020 bersama ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan menjadi ADUN bebas berkata, Warisan tidak diterima di Sugut kerana selama 2 tahun menerajui Kerajaan Negeri, pemimpin mereka hanya membuat janji kosong semata-mata.

“Cukup-cukuplah parti Warisan, jangan terus bodohkan rakyat Sabah terutama di Sugut”, katanya yang mendakwa Warisan turut menipu soal jumlah ahli dan cawangan yang ada di DUN Sugut.

Menurutnya, Warisan hanya mempunyai kurang daripada 10 cawangan di kawasan Sugut. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *