(VIDEO) Ahli Parlimen Taiwan Bertumbuk, Baling Belon Air

Ahli Parlimen Taiwan bertumbuk kerana membantah pencalonan ketua badan pemantau kerajaan. – Foto AFP


TAIPEI: Sidang Parlimen Taiwan hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen saling bertumbuk dan membaling belon air dalam kalangan mereka.

Ini adalah kekecohan kali ketiga dalam tempoh dua minggu, yang tercetus akibat dua parti utama tidak bersetuju berhubung undian pencalonan bagi ketua badan pemantau kerajaan, Control Yuan.

Rakaman kamera menunjukkan seorang Ahli Parlimen parti pemerintah, Parti Demokratik Progresif (DPP), menumbuk seorang anggota parti pembangkang ketika pengundian Chen Chu sebagai calon bagi mengisi jawatan terbabit.

Ahli Parlimen Kuomintang (KMT) pula dilihat melemparkan belon air ke pentas Speaker, memaksa ahli DPP melindungi diri dengan memakai baju hujan dan berselindung di sebalik kadbod.

Kekecohan kali ketiga yang juga terburuk itu berlaku kerana dua parti terbabit bertelagah mengenai keputusan mencalonkan Chen, 70, untuk mengetuai Control Yuan, sebuah agensi penyiasat kerajaan bagi memantau cabang kerajaan yang lain.

KMT menentang pelantikan itu, yang memerlukan persetujuan daripada Parlimen yang dikuasai DPP.

Parti itu mendakwa 24 daripada 27 individu dicalonkan sebagai anggota Control Yuan itu mempunyai hubungan rapat dengan DPP dan menyifatkannya senarai pencalonan ‘terburuk yang pernah ada’ untuk agensi terbabit.

Ketua KMT, Johnny Chiang, berkata partinya mahu penilaian semula diadakan dan menuntut pencalonan sedia ada ditarik balik.

Chen adalah pembela hak asasi manusia veteran dan pernah dipenjara selama enam tahun ketika Taiwan ditadbir secara diktator di bawah KMT.

Walaupun berlaku kekecohan ketika pengundian pada sebelah pagi, ia tetap diteruskan dan pencalonan Chen dipersetujui.

Kata Chen, beliau akan keluar daripada DPP selepas pencalonannya dipersetujui dan berjanji tidak akan bersikap berat sebelah serta menuduh pembangkang sengaja memburuk-burukkan dirinya dengan tuduhan tidak berasas. – AFP

785