Lelaki Lemas Ketika Memancing Bersama Abang, Adik

Mayat mangsa diangkat ketika ditemui 30 meter dari tempat kejadian.

SANDAKAN, 18 Julai: Hasrat seorang lelaki berumur 20 tahun untuk memancing bersama abang dan adiknya berakhir tragedi apabila ditemukan lemas tidak jauh dari Pantai Dandulit dekat sini semalam.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan di sini hari ini, mangsa dikenali sebagai Fadlizan Idris, 20, yang bekerja sebagai penghantar makanan di sini dikatakan ingin menghabiskan baki cuti terakhirnya untuk memancing. 

“Mangsa bersama seorang abang berumur 23 tahun dan seorang adik lelakinya berumur 13 tahun memancing di tepi pantai itu kira-kira 9 pagi dan selepas kira-kira 30 minit memancing, tiga beradik itu mengambil keputusan untuk cuba menyeberang laut (berenang) ke kawasan batuan berhampiran, namun berlaku arus ombak yang kuat dan ketiga-tiga beradik itu hanyut.

“Seorang nelayan kampung yang berada berhampiran menyedari kejadian tersebut dan berjaya menyelamatkan dua daripada mereka,” kata kenyataan itu.

Bertindak daripada maklumat yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Sandakan pada 11.11 pagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada 1 tengah hari dengan penugasan dua bot milik APMM, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM dan penduduk kampung serta ahli keluarga memberi bantuan di darat.

Mayat mangsa ditemukan oleh abang saudaranya kira-kira 30 meter dari tempat kejadian pada 3.22 petang dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Azhar Hamin mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan untuk bedah siasat.- BERNAMA

1228