Sabah Sokong Satu Pertiga Jumlah Perwakilan Di Parlimen

RANAU: Kerajaan Sabah menyokong usaha kepemimpinan kerajaan negeri Sarawak untuk mendapatkan satu pertiga jumlah perwakilan dari kedua-dua negeri itu di Parlimen.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau melihatnya sebagai  satu cadangan yang amat baik dan perlu diperjuangkan.

“Kerajaan Sabah tiada masalah dan kita memberi sokongan, kerana ini adalah satu usaha yang perlu kita perjuangkan.

“Bukan saja berdasarkan kepadatan jumlah penduduk tetapi oleh kerana keluasannya yang begitu besar untuk seseorang ahli parlimen berkhidmat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Mesilou, Kundasang, di sini.

Beliau mengulas mengulas kenyataan kepemimpinan kerajaan Sarawak agar Sabah dan Sarawak mesti bekerjasama jika mahu mendapatkan satu pertiga jumlah perwakilannya di Parlimen Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing, dipetik sebagai berkata jika kedua-dua negeri dari Malaysia Timur ini bekerjasama, Sabah dan Sarawak pasti memperolehi sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen.

Oleh itu Masiung berkata Sabah harus menyertai usaha Sarawak ini bagi melindungi hak Kedua-dua negeri.

Sebelum Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, Malaya mempunyai kurang daripada dua pertiga Ahli Parlimen yang memperuntukkan 222 kerusi.

Namun selepas Singapura keluar daripada gagasan itu, kesemua 15 kerusi yang diperuntukkan untuk pulau itu dibolot oleh Malaya. Tiada satupun kerusi diberi kepada Sabah dan Sarawak.

Ini menjadikan jumlah Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak jika digabungkan mempunyai kurang daripada dua pertiga.

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak masing-masing ada 25  dan 31 kerusi Parlimen.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata Ini tidak termaktub dalam Perjanjjan Malaysia 1963 (MA63) tetapi apabila Singapura keluar daripada Malaysia, Sabah dan Sarawak tidak memperolehi penambahan kawasan parlimen.

Sebaliknya katanya sebahagian daripda kawasan yang ditinggalkan pulau itu diambil oleh Semenanjung pada ketika itu.

“Kita berharap suara dan cadangan yang dilontarkan Sarawak bukan hanya mendapat sokongan daripada Sabah tetapi juga pimpinan di peringkat Pusat.

“Kita berharap cadangan ini dapat direalisasikan,”katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *