TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan 13 warga asing dalam satu sekatan jalan di Jalan Pekan Kalabakan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, semua individu berusia antara 10 hingga 49 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri masing-masing.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, semua mereka ditahan ketika sepasukan pegawai dan anggota PGA Semporna sedang menjalankan tugas Op Benteng Covid di laluan berkenaan.
“Ketika sekatan jalan dibuat, dua kenderaan jenis pacuan empat roda yang membawa 13 individu ditahan selepas didapati membawa muatan barang keperluan melebihi had muatan kenderaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua pemandu adalah warga tempatan manakala 13 penumpang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan selebihnya wanita dewasa adalah warga asing,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut terhadap semua warga asing itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri masing-masing.
“Mereka hanya menyatakan secara lisan bahawa mereka bekerja di sektor perladangan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran.
“Semua mereka terpaksa ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost