DAP Sabah Kekal Kerjasama Dengan WARISAN

Frankie Poon

KOTA KINABALU: DAP Sabah tidak ada masalah bekerjasaman dengan Parti Warisan Sabah walaupun bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan lima lagi bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), keluar menubuhkan blok bBebas.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon berkata, setakat ini kerjasama mereka bersama kerajaan negeri yang dipimpin Warisan berjalan dengan baik.

“Fokus kami ialah untuk membangunkan dan memajukan rakyat. Paling penting ialah DAP Sabah adalah berautonomi. Kami juga sentiasa memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, yang juga merupakan Presiden Warisan, beliau juga adalah bakal Perdana Menteri ke-9.

“Mereka perlu keluar daripada politik bercirikan konfrontasi dan berdamai demi untuk kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Frankie ditanya sama ada parti itu mampu melihat masalah yang bakal timbul dalam kalangan anggotanya, pada bila-bila masa berikutan sokongan Dr. Mahathir kepada Warisan.

Menurut Frankie, di Sabah, wujud persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan ahli parti dan mereka kerap mengadakan pertemuan untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

Semalam, satu kenyataan bersama ditandatangani dan dikeluarkan oleh Dr Mahathir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Kumpulan enam bekas Ahli Parlimen itu yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengisytiharkan kekal sebagai blok bebas bersama dengan Warisan.

Mereka berkata, Presiden Warisan bukan sahaja mampu mendapat sokongan majoriti tetapi mencadangkan dia sebagai PM yang akan membantu memperbaiki hubungan di antara negeri-negeri Semenanjung dan Malaysia Timur.

Usaha untuk menghubungi Ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew untuk mendapatkan komen mengenai isu itu masih dibuat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *