Lelaki Maut Tercampak Dari Kenderaan Kemalangan Di Telipok

Kedaaan kereta myvi dipandu mangsa dalam kemalangan tersebut.

TUARAN: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dipandunya dalam kemalangan di Kampung Melalin, Jalan Telipok, Tenghilan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, mangsa berusia 38 tahun memandu sebuah Perodua Myvi, namun terbabas sendiri sehingga  merempuh simen konkrit parit dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kedaaan kereta myvi dipandu mangsa dalam kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Mohd. Hamizi Halim berkata, kemalangan dipercayai akibat kenderaan dipandu laju.

“Siasatan awal mendapati, mangsa memandu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Tuaran dan sebaik tiba di lokasi, mangsa yang disyaki memandu laju telah melanggar takungan air di atas jalan.

“Mangsa kemudian hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri bahu jalan dan merempuh simen konkrit parit sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas serta masuk ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan terjatuh berhampiran dengan kenderaannya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di badan dan kepala serta meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota bomba dikejar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, terdapat kejadian kemalangan dimana seorang mangsa yang belum diketahui identitinya tercampak keluar dari kenderaan.

“Pihak bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam parit sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 4.40 pagi selepas pemeriksaan terakhir dibuat bagi memastikan kawasan kemalangan selamat dilalui kenderaan lain. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1650