UMNO Masih Kuasa Politik Digeruni Di Sabah, Kata Penganalisis

Pemimpin Umno meraikan kemenangan calon parti itu Mohamad Alamin (4 dari kiri) dalam pilihan raya kecil Kimanis Januari lepas.

UMNO masih merupakan kuasa politik yang digeruni di Sabah, terutama dalam pilihan raya akan datang, kata 2 orang penganalisis politik.

Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, Umno masih mendapat sokongan di Sabah dengan rangkaian yang kuat di seluruh negeri itu.

Beliau berkata, kemenangan calon parti itu dalam pilihan raya kecil Kimanis Januari lepas penting bagi Umno untuk kekal relevan.

“Ia menunjukkan parti itu masih mempunyai ramai penyokong dan rangkaian kuat yang boleh diaktifkan pada bila-bila masa.”

Arnold Puyok.

Puyok mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Abdul Latiff Ahmad bahawa Umno tidak lagi relevan di negeri itu.

Latiff dari PPBM dalam siaran langsung di Facebook yang dianjurkan oleh Mara berkata, mereka yang melompat parti di Sabah telah “berhijrah” ke parti itu.

Bagaimanapun Puyok berkata, satu-satunya sebab PPBM kuat di Sabah ialah kerana presidennya Muhyiddin Yassin.

Katanya, sekiranya Muhyiddin tidak berjaya memperkuatkan sokongan kepada PPBM, wujud kemungkinan beliau akan menyertai semula atau bergabung dengan Umno dengan sokongan ahli PPBM Sabah.

Beliau juga berkata, PPBM tidak dapat menyaingi Umno kerana parti itu mempunyai lebih banyak kerusi.

“Umno kini dilihat kembali popular dalam kalangan orang Melayu, terutama mereka yang hilang kepercayaan kepada Presiden PKR Anwar Ibraim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Jayum Jawah.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Chini baru-baru ini kerana ia tidak bersedia untuk menerima tamparan baru daripada pengundi kerana gabungan itu sedia berada dalam keadaan berkecamuk berikutan perselisihan dalam kalangan pemimpinnya.

Jayum Jawah dari Universiti Putra Malaysia bersetuju dengan Puyok dengan berkata, kejayaan berturut-turut Umno dalam beberapa PRK menunjukkan parti itu semakin pulih.

Katanya, semua parti yang bersaing merebut sokongan orang Melayu perlu risau dengan Umno kerana sokongan akar umbinya yang meluas.

Menurut beliau, Umno kekal sebagai salah sebuah parti yang diwakili paling ramai ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1278