Sabah Mampu Menjadi Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP Terkenal Di Asia Tenggara

Shafie menaiki Gyrocopter yang pertama di Sabah dan juga model pertama di Malaysia, iaitu AutoGyro Cavalon 915is ketika lawatan rasmi ke Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP.

KOTA KINABALU: Pusat Latihan Aeroangkasa KKIP dilihat mampu melonjakkan lagi nama Sabah di peringkat antarabangsa khususnya di Asia Tenggara.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun Sabah berhadapan dengan pelbagai cabaran pada ketika ini, tetapi kewujudan pusat latihan berkenaan adalah satu inisiatif baik.

“Hari ini kita boleh melihat usaha sama meterai selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat seperti MASWings Sdn Bhd dengan MEGA Aerospace Sdn Bhd.

“Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd dengan KKIP Aerospace Sdn Bhd. CAAC Malaysia Sdn Bhd dengan MEGA Aerospace Sdn Bhd dan Bataras dengan  Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan (DIDR),” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, semalam.

Beliau berkata, usaha sama dengan Bataras juga dilihat adalah sesuatu yang baik memandangkan banyak produk dikeluarkan di sini dipasarkan ke lebih daripada 40 cawangan Bataras di seluruh negeri.

Katanya, selain menjual barangan, syarikat terbabit mampu meningkatkan pengetahuan anak – anak Sabah mengenai aeroangkasa serta menambah peluang pekerjaan.

Sementara itu, Shafie turut yakin sektor pelancongan negeri ini akan kembali pulih dalam tempoh setahun sehingga dua tahun.

Katanya, kerajaan akan menggerakkan semula jentera industri pelancongan Sabah ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pada ketika itu kesemua kemudahan penerbangan dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, Shafie berkata, Pusat Inovasi dan Kreativiti Sabah perlu dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan golongan belia negeri ini mempunyai minat terhadap sektor seumpamanya.

“Kalau kita tengok dari segi animasi, bukan hanya di youtube tapi macam-macam ada kreativiti, penggunaan teknologi sosial media dan sebagainya.

“Kalau kita lahirkan satu tempat untuk anak-anak muda untuk membolehkan mereka menggunakan pengetahuan masing-masing, kita yakin pusat ini dapat membantu,” katanya.

Menurutnya, adalah baik sekiranya mampu melahirkan pengiat seni filem tempatan yang boleh mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Katanya, terdapat pengiat seni filem antarabangsa datang ke negara ini untuk membuat rakaman.

Berkaitan dengan pembinaan kilang kaca di KKIP, Shafie menjelaskan perbincangan dengan pelabur sudah dilakukan sejak tahun lalu dan kini berbincang dari segi harga silica pasir.

“Kita perlu mendapatkan harga yang betul-betul berpatutan, tidak bolehlah banyak sangat subsidi, sebab Sabah juga perlukan pendapatan.

“Pelaburan ini juga akan menjamin mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *