Bapa & Anak Maut Angkara Cinta Ditolak

Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan dua mangsa menari sebelum mati ditembak.

UTTAR PRADESH: Seorang bakal pengantin perempuan di sini, mati ditembak seorang lelaki, dua hari sebelum melangsungkan perkahwinan.

Apa yang menyedihkan suspek berbuat demikian kerana berang dengan tindakan wanita itu yang menolak cintanya.

Lebih malang, pada kejadian 28 Jun lalu, bapa mangsa turut meninggal dunia selepas terkena tembakan.

Mirror UK melaporkan insiden berkenaan kembali menarik perhatian semalam apabila video kejadian tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman itu, kedua-dua mangsa ditembak ketika menari dalam parti praperkahwinan.

Wanita itu dikenali sebagai Anchal maut di tempat kejadian manakala bapanya, Rajkumar meninggal selepas dibawa ke hospital.

Difahamkan, abang Anchal turut cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Akhilesh, Narayan Sing berkata, suspek utama dan rakannya tiba di rumah Anchal pada tengah malam sebelum melepaskan tembakan ke arah keluarga mangsa.

“Anchal dan dua ahli keluarganya terkena tembakan, manakala tetamu lain berlari menyelamatkan diri,” katanya.

Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki, namun suspek utama masih bebas.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1187