KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang COVID-19 (Langkah Sementara) dirancang kerajaan hampir sama dengan yang dilaksana dan diumumkan di negara seperti New Zealand dan Singapura.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata undang-undang baharu untuk diperkenalkan tidak lama lagi itu, akan dibincangkan di Kabinet dan dibawa ke Parlimen tidak lama lagi.
“Ini adalah langkah pelepasan sementara yang bertujuan membantu rakyat Malaysia,” katanya dalam program ‘Money Matters’ terbitan TV3 hari ini.
Mengulas kemungkinan melanjutkan moratorium pinjaman yang berakhir 30 September ini, beliau menasihatkan bank dan pelanggan berbincang antara satu sama lain.
Sebagai bekas ketua pegawai eksekutif bank, beliau sedia maklum mengenai cabaran dihadapi bank, namun turut sedar rakyat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan masalah tersendiri seperti gangguan aliran tunai dan pengangguran.
“Saya berpendapat penting untuk bank melihat segmen masyarakat dan PKS yang masih memerlukan sokongan dan membantu menstruktur semula pinjaman mereka. Mereka perlu memberi bantuan sebanyak mungkin kepada kumpulan ini,” katanya.
Tengku Zafrul menegaskan Malaysia tidak mengalami krisis kewangan pada masa ini berikutan bank-bank adalah lebih kukuh berbanding situasi dihadapi semasa krisis kewangan 2008-2009, khususnya dengan penampan modal tinggi berjumlah RM121 bilion.
Sementara itu, beliau berkata antara sektor terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 adalah industri pelancongan yang menjadi sektor pertama menerima impak itu dan dijangka yang terakhir untuk pulih.
Beliau berkata pelancongan domestik kunci kepada pemulihan jangka pendek industri berikutan Malaysia belum membuka sempadannya.
Tengku Zafrul turut menggesa operator pelancongan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengembalikan keyakinan pengunjung dan sektor pelancongan domestik dapat dirancakkan kembali.
Mengenai industri penerbangan dan sama ada kerajaan akan menyelamatkan syarikat penerbangan dalam keadaan mencabar ini, beliau berkata penting untuk syarikat penerbangan mencari penyelesaian komersial.
“Saya tidak yakin (dengan cara) menyelamatkan pemegang saham, dan tiada satu pihak pun dalam kalangan mereka yang minta untuk diselamatkan.
“Kita mungkin mencari jalan untuk membantu syarikat supaya mereka boleh kekal bertahan dan pekerjaan dapat diteruskan.
“Setakat ini, tiada permintaan daripada mana-mana syarikat penerbangan untuk kerajaan memberikan suntikan pembiayaan langsung,” katanya.– BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost