Kes Positif COVID-19 Di Arab Saudi Lepasi Angka 200,000

Kes COVID-19 di Arab Saudi melepasi angka 200,000.

RIYADH: Kes jangkitan COVID-19 di Arab Saudi melepasi angka 200,000, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Jumaat.

Peningkatan kes itu berlaku beberapa minggu menjelang musim haji tahun ini.

Negara yang paling teruk terjejas di Teluk itu merekodkan 201,801 kes jangkitan termasuk 4,193 kes baharu pada Jumaat dan 1,802 kematian.

Lebih 140,000 yang dijangkiti disahkan sembuh.

Ketika pelbagai sekatan dikuatasakan bagi mengekang penularan pandemik, kerajaan negara itu hanya membenarkan sekitar 1,000 jemaah menunaikan ibadat haji tahun ini.

Jumlah itu jauh daripada angka yang direkodkan musim lalu apabila lebih 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadat berkenaan.

Ibadat haji tahun ini akan dilaksanakan di bawah protokol kebersihan yang ketat, dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah usia 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Jemaah haji akan menjalani ujian saringan sebaik ketibaan mereka di kota suci Makkah dan setelah melakukan ibadat itu, mereka akan menjalani kuarantin di rumah.

Arab Saudi merekodkan peningkatan bagi kes jangkitan dan kematian akibat pandemik itu sejak melonggarkan sekatan pergerakan pada akhir Mei. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

653