KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob menyelar kenyataan Datuk Seri Bung Moktar yang dilihat cuba mengelirukan rakyat dengan menggambarkan situasi politik di Sabah sedang goyah.
Kenyataan Ketua Umno Sabah itu tidak mencerminkan situasi sebenar keadaan politik yang berlaku di Sabah.
Pembohongan demi pembohongan dilemparkan oleh Bung tentang wakil rakyat Sabah yang dikatakan akan keluar beramai-ramai meninggalkan parti kerana sudah bosan dengan hala tuju parti yang tidak jelas.
Jika dilihat situasi sebenar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri dibawah pimpinan Warisan masih lagi kukuh.
“Kenyataan Bung tidak lain tidak bukan hanya untuk mengelirukan rakyat. Maka, berhentilah berbohong kepada rakyat. Sekarang dia (Bung) katakan wakil rakyat Warisan sudah bosan dengan hala tuju parti yang tidak menentu. Kenyataan ini hanyalah satu pembohongan.
“Yang tiada hala tuju adalah UMNO Sabah. Mereka sudah tidak relevan lagi di Sabah, lebih-lebih lagi apabila Bung menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Sabah.
“Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan cara kepimpinan gangster Bung. Rakyat menilai semua ini dan Bung tidak dilihat membela rakyat sebaliknya dia ‘meroyan’ dan menyalahkan orang lain apabila kerajaan Warisan semakin kuat dan bertapak di hati rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menteri Pelajaran dan Inovasi ini berkata, sekarang Bung menempelak Warisan dan menafikan cubaan beliau untuk melobi ADUN Warisan untuk keluar meninggalkan parti.
Situasi ini hanya taktik untuk menutup malu apabila cubaannya untuk menarik ADUN Warisan dan kerajaan Sabah tidak berjaya.
Katanya, setakat ini, hanya dua wakil rakyat yang berjaya dipujuk dan kedua-dua mereka ini mempunyai kepentingan peribadi kerana inginkan projek.
“Saya percaya sekiranya kerajaan persekutuan berubah, mereka berdua ini mungkin akan melompat sekali lagi kerana inginkan projek,” jelasnya.
Yusof berkata, siri kenyataan Bung yang berputar-belit itu pastinya tidak akan mengugat kedudukan Warisan.
Beliau berkata, ADUN Warisan tahu mereka diburu dan dipujuk dengan janji-janji manis, namun kebanyakan ADUN Warisan berpegang teguh kepada pendirian dan mereka ingin terus bekerja dalam membela nasib rakyat yang sudah lama susah disebabkan kepimpinan terdahulu.
Katanya, kerajaan Warisan ingin memberi fokus kepada pembangunan Sabah bagi memperbetulkan segala kerosakan kerajaan terdahulu.
“Kita tidak boleh berpolitik sepanjang masa hingga menyebabkan kepentingan rakyat terabai,” ujarnya.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost