WARISAN Perlu Kekal Untuk Kestabilan Politik Sabah

Christina Liew

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah melihat kerajaan negeri yang diterajui oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) perlu dikekalkan untuk kestabilan politik negeri.

Pemimpin-pemimpin PH Sabah menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di bawah kerajaan WARISAN.

Kepimpinan Presiden WARISAN itu setakat ini terbukti dapat memberi manfaat kepada rakyat Sabah keseluruhannya.

PH Sabah memandang serius perkembangan politik peringkat nasional yang dilanda krisis disebabkan pergolakan politik dan perebutan kuasa.

Pihak berkenaan menggesa agar mandat rakyat dikembalikan bagi membolehkan fokus dalam menangani isu ekonomi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan sektor pendidikan yang menjadi nadi pembangunan insan negara.

FRANKIE
FRANKIE

Dalam pada itu, PH Sabah juga berharap agar model politik yang diamalkan di Malaysia Timur yang matang dalam konteks politik negeri berbilang kaum dan agama dapat diterjemahkan dalam konteks politik negara.

Konflik antara kaum dan fanatik beragama perlu diminimakan dalam membina masa depan negara.

“Kita tidak mahu negara ini diheret dengan prasangka antara kaum dan menjadi bom jangka pada masa hadapan.

“Justeru, PH Sabah mencadangkan agar formula politik di Malaysia Timur atau Borneo ini terutama di Sabah dapat menjadi rujukan pimpinan nasional dalam mengatasi kemelut politik yang melanda negara.

LAHIRUL
LAHIRUL

“Sudah tiba masanya pemimpin Sabah dan Sarawak sepatutnya diberi peranan strategik dalam menerajui kepimpinan negara kerana kebijaksanaan dan kematangan mereka dalam mengurus kepelbagaian etnik dan agama,” jelas pemimpin PH dalam kenyataan bersama di sini kelmarin.

Buat masa ini PH Sabah akan menumpukan usaha untuk membantu membangun semula ekonomi negeri dan memastikan rakyat Sabah dapat melepasi cabaran COVID-19.

PH Sabah mahu negeri ini kembali kepada keadaan asal terutama sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Kenyataan bersama itu membabitkan Pengerusi PH Sabah merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Christina Liew; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah Lahirul Latigu.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *