Bantuan Covid-19 Sabah, RM189 Juta Disalurkan Kepada 918,829 Keluarga

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah melaporkan bahawa setakat 22 Jun, sejumlah RM189 juta

telah disalurkan kepada 918,829 keluarga melalui Pakej Bantuan Covid-19 Sabah We Care sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Nic Chak dalam satu kenyataan berkata, bantuan ini meliputi penduduk Sabah dalam pelbagai sektor.

“Bantuan sejumlah RM189 juta ini meliputi bantuan untuk penduduk di seluruh negeri Sabah dalam pelbagai sektor.

“Sebagai contoh, anggota RELA, pegawai-pegawai imigresen, anggota polis, pemandu pelancong, malim gunung, petani, nelayan, pengusaha kecil getah, warga emas, anak yatim, OKU, ibu tunggal, penjaja, mahasiswa, pemandu teksi, pemandu bas, wartawan, keluarga-keluarga dalam kumpulan B40 dan M40, pesakit Covid-19, suspek-suspek yang dikuarantin, perolehan topeng muka, sanitizer dan sebagainya.”

“Daripada jumlah besar RM189 juta ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengagih RM18.9 juta kepada 63,226 keluarga atau individu anak yatim, warga, OKU, pesakit Covid-19 dan lain-lain.”

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan pula telah mengagihkan RM31.2 juta kepada 104,015 keluarga atau individu petani, nelayan, pengusaha kecil getah, pengusaha kecil kelapa sawit dan sebagainya. Manakala sejumlah 1,351 pemandu pelancong telah menerima RM405,300 daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar.

“Bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, sejumlah RM36.68 juta telah dibayar kepada 99,986 keluarga dalam kumpulan miskin tegar, B40, e-kasih dan sebagainya,” katanya.

Melalui Jabatan Kerja Raya di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur, sejumlah RM1.015juta telah dibayar kepada 3,386 pemandu teksi, pemandu bas dan pemandu lori manakala Jabatan Hal Ehwal Wanita telah membantu 1,969 ibu tunggal dengan sejumlah RM590,700

Bagi kategori penjaja, pengusaha tapak pasar malam, pemilik food truck dan lain-lain, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah membelanjakan RM2.66 juta untuk membantu 13,328 orang dan tambahan sebanyak RM463,200 telah disalurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi membantu 2,316 orang.

Kerajaan tidak melupakan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia. Melalui badan perhubungan yang ditubuhkan, sejumlah RM38.78 juta telah dibelanjakan untuk membantu 134,318 orang Sabah yang bekerja atau melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia.

Nic berkata, selain bantuan langsung, sejumlah wang yang besar turut digunakan untuk perolehan peralatan bagi tujuan mengawal penularan wabak Covid-19.

“Saya ingat di ketika PKP mula dilaksanakan, Sabah tidak berupaya menjalankan ujian sampel Covid-19 kerana kekurangan kit ujian. Kit-kit ujian tersebut sepatutnya dibekalkan oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi, selepas menunggu berminggu-minggu, masih tidak sampai-sampai.

“Kami tidak sanggup tunggu Semenanjung kerana bimbang tentang keselamatan dan kesihatan penduduk Sabah.

“Jadi kerajaan Sabah membuat keputusan mendapatkan sendiri kit-kit ujian daripada negara jiran dengan kos sebanyak RM667,581.90 termasuk sewaan penerbangan kargo khas Air Asia,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak RM10.1juta digunakan untuk membeli berjuta-juta pelitup muka dan pensanitasi tangan yang kini sedang diagih secara percuma di seluruh Sabah melalui pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekolah, melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Dalam pada itu, kerajaan Sabah turut membelanjakan RM23.65 juta untuk membantu petugas barisan hadapan seperti para wartawan, anggota RELA, anggota kastam, kakitangan ESSCOM, anggota imigresen, anggota PDRM, anggota maritim, anggota tentera, anggota pertahanan awam dan sebagainya yang telah berbudi dan berkhidmat kepada masyarakat sepanjang PKP.

Kerajaan Sabah turut mengagih pek makanan dan bantuan makanan keperluan dapur. Untuk tujuan ini, sejumlah RM34.74 juta dibelanjakan untuk meringankan bebanan 494,323 keluarga di seluruh Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *