Saya Masih Mahu Bersama Warisan – Rozman

Rozman berkata, pendirian politiknya masih kekal bersama Warisan dan tidak mempunyai perancangan untuk keluar daripada parti itu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menegaskan tidak mempunyai rancangan untuk keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Beliau berkata, pendirian itu sekali gus menolak sebarang dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan Warisan.

“Laporan media mengenai saya sebelum ini tidak menggambarkan perkara sebenar secara keseluruhan.

“Secara umum saya beritahu (dalam laporan itu) tiada masalah jika Labuan dipimpin oleh mana-mana wakil rakyat sekali pun termasuklah Bebas kerana pembangunan pulau bebas cukai itu perlu tetap diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rozman sebelum ini dilaporkan seolah-olah bersedia untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas berikutan krisis politik Sabah kembali hangat selepas sekumpulan ahli PKR bertindak keluar parti.

Sebelum ini, Rozman yang menjadi Ahli Parlimen Labuan sejak tahun 2013 atas tiket UMNO-Barisan Nasional (BN) bertindak keluar parti menyertai Warisan selepas BN gagal mempertahankan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Mengulas lanjut, Rozman berkata, keputusannya untuk meninggalkan UMNO adalah kerana terlalu sayangkan projek Jambatan Labuan-Menumbok yang telah diluluskan dan sepatutnya dijadikan sebahagian daripada pakej Lebuh Raya Pan Borneo.

“Tetapi di bawah kerajaan yang lepas (Pakatan Harapan) sudah lain ceritanya, walaupun diteruskan tetapi ianya berbentuk Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI).

“Saya sekarang sudah masak dan sedar bahawa pembangunan Labuan tidak bergantung kepada parti yang diwakili Ahli Parlimennya,” jelasnya.- AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2265