UPKO Tetap Kukuh – Madius

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu masih kukuh walau pun dua wakil rakyatnya keluar daripada parti itu pagi tadi.

“UPKO masih kukuh. UPKO akan terus memainkan peranan yang penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan campuran Sabah,” kata Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Kami menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang mereka umumkan. Untuk ketika ini, kami belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis. Yang jelas, setelah menghubungi pemimpin kami di lapangan, UPKO tidaklah terjejas sangat,” tambah beliau.

Madius, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas tindakan Naib Presiden UPKO, Datuk Limus Jury dan ahli Majlis Tertinggi UPKO Datuk James Ratib yang mengumumkan perletakkan jawatan dan keahlian mereka daripada UPKO dalam satu sidang akhbar pagi tadi.

Limus adalah Ketua Bahagian UPKO Beaufort dan Ahli Dewan Undangan Kuala Penyu manakala James ialah ADUN Sugut yang memenangi kerusi itu dengan tiket UMNO pada pilihanraya umum ke-14 pada 2018 sebelum menyertai UPKO. Kedua-duanya berkata mereka kini ADUN Bebas.

Madius telah meminta Timbalan Ketua Bahagian UPKO Beaufort, Nelson W Angang yang juga merupakan Setiausaha Agung UPKO untuk menjalankan tugas sebagai pemangku ketua bahagian berkuatkuasa serta merta.

Madius juga mengatakan UPKO Beluran dibawah kepimpinan Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang kekal mantap kerana James memangpun tidak memegang apa-apa jawatan dalam bahagian itu.

“Apa pun, saya telah memanggil satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO dalam sehari dua ini,” tambah beliau.- Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *