Peguam Didakwa Pecah Amanah Lebih RM15 Juta

Peguam Michael Persius Ubu (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini, selepas didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tiga pertuduhan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram. – NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

KOTA KINABALU: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan pengubahan wang haram.

Michael Persius Ubu, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sebagai seorang ejen kepada RISDA dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan kuasa ke atas harta iaitu wang berjumlah RM15,545,400 yang dibayar melalui cek Bank Muamalat ke dalam akaun Ambank milik Tetuan Michael Ubu & Co.

Ia adalah bayaran 10 peratus daripada harga jualan bagi pembelian tanah ladang kelapa sawit seluas 6,768.688 ekar di Sungai Pinangah dan Sungai Labau, Tongod, dan tertuduh didakwa dengan curangnya melepaskan harta itu dengan melanggar kontrak antara tertuduh dan pihak RISDA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tetuan Michael Ubu & Co, Tingkat Dua Beverly Hill Plaza, Jalan Bundusan, Penampang di sini, pada 22 Julai 2014 dan 19 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM1 juta yang juga hasil aktiviti haram daripada syarikat Budiman Juta Sdn Bhd, di tempat yang sama pada 25 Julai 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menerima wang tunai berjumlah RM2,960,000 iaitu hasil aktiviti haram daripada syarikat sama, di tempat sama pada 27 November 2015, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohamad Zambry memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana kes berkenaan adalah serius dan tertuduh berpotensi melarikan diri ke luar negara.

Bagaimanapun, peguam Zahir Shah yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dibenar ikat jamin atas alasan tertuduh tiada sebab melarikan diri ke luar negara kerana isteri dan tiga anaknya berada di Sabah dan tertuduh juga menyedari tindakan melarikan diri akan merugikannya apabila kehilangan duit jaminan.

Hakim Abu Bakar membenarkan Michael diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin tempatan, serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Sabah dua kali dalam sebulan serta menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos ini.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh membayar deposit RM700,000 iaitu RM300,000 dibayar pada hari ini dan RM400,000 lagi selewat-lewatnya 22 Jun. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *