‘Kami Mulakan Gendang Dipalu, Ramai Akan Ikut’ – ADUN Sugut

James bersama rakannya, Datuk Limus Juri (ADUN Kuala Penyu) dari parti UPKO mengumumkan keluar parti dan seterusnya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN). – Foto Astro AWANI

KOTA KINABALU: ‘Lebih ramai akan bertindak keluar daripada parti pemerintah kerajaan negeri dalam tempoh terdekat ini.’

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai akan keluar mengikut jejak langkahnya dalam tempoh sehari dua ini.

Sebelum itu tengah hari tadi bertempat di Jalan Lintas, Penampang, James bersama rakannya, Datuk Limus Juri (ADUN Kuala Penyu) dari parti UPKO mengumumkan keluar parti dan seterusnya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya yakin dalam masa satu atau dua tiga hari ini, akan lebih ramai akan menyusul.

“Kami bersama YB Limus, daripada parti UPKO yang memulakan gendang dipalu,” katanya.

Dalam sidang media berkenaan, James dan Limus turut mendedahkan antara alasan mereka bertindak demikian adalah disebabkan tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.

Bahkan, James dalam sidang media yang sama turut memaklumkan kesediaan mereka untuk menerima semula kepimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, sebagai peneraju kerajaan negeri ini semula.

“Ya, kalau Tan Sri Musa mendapat sokongan, daripada kalangan semua YB (Yang Berhormat) , why not? kita kena follow, sebab kita mahu kerajaan yang memerintah, kita tidak mahu pembangkang sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media sama juga, Limus turut memaklumkan bahawa pihaknya amat berterima kasih terhadap pucuk pimpinan UPKO dan kerajaan negeri dibawah Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memberi peluang kepadanya memberikan perkhidmatan selaku wakil rakyat di Kuala Penyu sebelum ini. – Awani

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

15015