Siapa Mahu ‘Lompat’, UMNO Sabah Buka Pintu Tetapi…. – Bung Moktar

Bung berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima mereka (wakil rakyat) selagi ia mengikut prosedur perlembagaan parti.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah membuka pintu kepada mana-mana wakil rakyat dalam kalangan parti kerajaan atau bekas pemimpin ‘lama’ untuk menyertai parti itu.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima mereka (wakil rakyat) selagi ia mengikut prosedur perlembagaan parti.

“UMNO Sabah dari dahulu tetap dengan pendirian untuk menerima dan buka pintu kepada sesiapa sahaja. Tiada halangan, tetapi (jika) mahu masuk mesti ikut prosedur,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Baru-baru ini, ada khabar angin yang menyatakan bekas pemimpin UMNO bertindak keluar parti dan menyertai parti kerajaan mahu kembali bersama UMNO.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa terdapat cubaan parti lawan melobi wakil rakyat kerajaan untuk meninggalkan parti, Bung berkata, beliau menasihatkan Mohd Shafie membuktikan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Sila bawa bukti kukuh sekiranya ada tuduhan mengaitkan Perikatan Nasional (PN) berbuat demikian. Kita tidak memainkan peranan untuk jatuhkan mereka, apa yang jelas saya lihat, wakil rakyat mereka keliru dengan hala tuju mereka yang tidak jelas.

“Bagi pendapat saya, pada waktu mereka mahu menubuhkan kerajaan suatu ketika dahulu, mereka juga kekurangan wakil rakyat bagi membentuk kerajaan.

“Tetapi kita di Barisan Nasional (BN) pada ketika itu ada wakil rakyat melompat menyertai mereka,  tidak pula ralat dan tidak menuduh sana sini kerana kita  sedar, ianya  adalah sebahagian daripada  sistem demokrasi,” katanya lagi. – Awani

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

14079