Hukuman Berat Menanti Pemandu Mabuk

Pemeriksaan nafas sedang dilakukan oleh anggota polis.

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bakal menyaksikan hukuman lebih berat dikenakan kepada individu yang disabit kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau secara berbahaya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata draf pindaan Akta 333 sudah dihantar ke Jabatan Peguam Negara, sebelum dihantar ke setiap kementerian dan dijangka dibentang pada Mesyuarat Kabinet, dua minggu lagi.

Pindaan itu, katanya, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, Julai ini, selain hasilnya adalah bersandarkan hasil pungutan suara diterima daripada 345,021 responden melalui proses pungutan suara dilakukan kementerian, baru-baru ini.

“Kita akan menyaksikan peningkatan mendadak ketiga-tiga hukuman bagi Seksyen 41 hingga 45 Akta 333.

“Bagaimanapun, ia belum boleh didedahkan kepada umum, selain usaha ini merentasi kepentingan kaum, agama dan politik yang pasti mendapat sokongan.

“Saya juga ada menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakan pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap pindaan ini, selain mahu hukuman ditingkatkan,” katanya dalam temu bual khas sempena 100 hari beliau dilantik ke jawatan itu.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000, jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 44 (a) Akta 333 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian.

Hukuman sama turut diperuntukkan bagi individu disabit bersalah mengikut Seksyen 44 (b) Akta 333 kerana memandu dengan kandungan alkohol dalam badan, nafas, darah atau air kencing melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian.

Seksyen 45A (1) Akta 333 memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara maksimum setahun, jika disabit kesalahan kerana memandu, cuba memandu atau menjaga kenderaan ketika mabuk.

Ka Siong berkata, kerajaan sedia menurunkan had kandungan alkohol dibenarkan ketika memandu mengikut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ketika ini kadar ditetapkan ialah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter (mm) nafas; 80 miligram (mg) alkohol dalam 100mm darah atau 107mg alkohol dalam 100mm air kencing, berbanding paras disaran WHO (0.05g/dl)

“Ada pihak mahu kandungan alkohol pemandu ditetapkan pada paras sifar. Namun, ia sukar kerana jika kita minum ubat batuk contohnya, akan ada bacaan alkohol dan ia akan diperhalusi,” katanya.

Mengulas hasil pungutan suara orang ramai, katanya, tiga peratus daripada keseluruhan responden pernah memandu selepas mengambil minuman beralkohol, 11 peratus pernah terbabit kemalangan berikutan pemandu mabuk sementara lima peratus tidak setuju menggunakan perkhidmatan awam jika mabuk.

“Bagi ruangan pengetahuan mengenai peraturan sedia ada, tiga peratus tidak tahu memandu di bawah pengaruh alkohol adalah kesalahan dan 65 peratus lagi tak maklum berhubung had alkohol dalam darah (BAC) ditetapkan Akta 333.

“Selain itu, 98 peratus bersetuju supaya kerajaan tak berkompromi isu ini, manakala setuju ketiga-tiga hukuman sedia ada diberatkan (94 peratus) dan mahu hukuman mati dijadikan hukuman setimpal kepada pesalah menyebabkan kematian (43 peratus).

Ditanya kesediaan kerajaan memfailkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes pemandu mabuk, beliau sebaliknya menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru untuk menghukum pesalah.

“Walaupun ada desakan orang ramai supaya pemandu mabuk dikenakan hukuman mati atau di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh), namun masyarakat tidak harus terburu-buru, sebaliknya perlu bertindak mengikut lunas undang-undang.

“Jika Seksyen 302 Kanun Keseksaan digunakan, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk terbabit ada niat untuk membunuh mangsa. Kita tak mahu mereka terlepas kerana niat (membunuh) gagal dibuktikan.

“Betul kita geram tetapi tidak boleh ambil tindakan melulu. Jika polis mendapati ada unsur jenayah lain, biar mereka gunakan akta bersesuaian untuk tuduh suspek dan biarkan polis jalankan siasatan,” katanya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *