Pertarungan Politik Antara Dua ‘Harimau’ Sabah Bakal Berlaku?

Penganalisis Arnold Puyok berkata, Musa Aman (kiri) yang merupakan kuasa dominan dalam politik Sabah selama bertahun-tahun, mempunyai penyokong setia dan akan dianggap saingan utama Shafie Apdal.

PETALING JAYA: Pentas nampaknya sudah bersiap sedia untuk pertarungan baru antara Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dan pendahulunya, Musa Aman yang kini bebas daripada pertuduhan rasuah serta pengubahan wang.

“Politik di Sabah kini menjadi pertarungan antara 2 harimau,” kata penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya beritahu FMT.

Sejurus selepas pilihan raya umum ke-14 lalu, timbul pertikaian sivil berhubung hak untuk jawatan ketua menteri, dan keadaan tidak memihak kepada Musa yang berdepan pertuduhan di mahkamah.

“Tetapi, dengan Musa kini bebas daripada pertuduhan dan Peter Anthony didakwa, pertarungan mungkin berubah,” kata Awang merujuk pertuduhan pengubahan wang terhadap Anthony, iaitu menteri pembangunan infrastruktur Sabah dan sekutu utama Shafie.

Tetapi, katanya, persepsi negatif terhadap Musa berpunca daripada penahanannya akan berterusan kerana ramai yang melihat keputusan mahkamah memihak kepada individu bersekutu kepada kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, ia tidak dibantu dengan masa Anthony dihadapkan ke mahkamah.

Semalam, Anthony yang juga naib presiden Warisan, didakwa dengan 5 pertuduhan pengubahan wang dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM8.75 juta antara 2014 hingga 2016.

Azman berkata, kerajaan perlu meyakinkan orang ramai berhubung fakta kes itu bagi mengelakkan dakwaan pihak berkuasa bertindak berdasarkan dendam politik.

Seorang lagi penganalisis, Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak, percaya sesetengah orang kini akan menumpukan perhatian terhadap Musa dan Umno.

Katanya, Musa ialah kuasa dominan dalam politik Sabah selama bertahun-tahun, mempunyai penyokong setia dan akan dianggap saingan utama Shafie.

“Politik Sabah masih berasaskan personaliti dan Musa ialah satu daripada personaliti yang boleh mengaktifkan semula jentera serta rangkaian partinya pada bila-bila masa.”

Beliau berkata, kes terhadap Anthony dan perkembangan terkini di Sabah mampu menggugat asas kuasa Warisan, walaupun ia tidak semestinya akan menyebabkan kejatuhan parti pemerintah itu.

Tetapi, katanya, keadaan itu boleh melemahkan semangat ahli Warisan.

“Dan ini boleh menimbulkan banyak keraguan yang boleh digunakan lawan Warisan untuk meyakinkan pemimpinnya atau wakil rakyatnya bertukar kem.”

SumbeR: FreeMalaysiaToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3630