5 Warga Tempatan Antara 7 Penagih Ditahan Di Papar

 Lima lelaki warga tempatan yang ditahan sekitar sini selepas didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

PAPAR: Polis berjaya menahan tujuh penagih serta merampas sejumlah dadah dalam dua serbuan berasingan sekitar sini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata tangkapan pertama berjaya dilaksanakan di sekitar kawasan Papar malam kelmarin.

“Operasi yang dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Papar berjaya menahan lima lelaki warga tempatan berumur 20 hingga 30-an.

“Hasil saringan terhadap kelima-lima suspek mendapati mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas disahkan positif dadah jenis methapetamine dan amphetamine,” katanya.

Tambahnya semasa penahanan suspek polis turut merampas satu paket plastik lutsinar yang mengandungi 0.18 gram syabu.

Sementara itu dalam operasi berasingan, dua lagi penagih ditahan di Jalan Kimanis-Keningau.

“Kedua-dua suspek berumur lingkungan 20-an ditahan anggota dari Cawangan Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Papar.

“Polis turut merampas 0.50 gram syabu daripada suspek yang positif dadah itu,” katanya sambil menambah kesemua suspek dibawa ke IPD Papar untuk tujuan dokumentasi dan akan ditahan reman.

Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Batholomew berkata kejayaan tangkapan adalah salah satu usaha polis khususnya IPD Papar dalam mengatasi penyalahgunaan dadah selain memastikan penduduk sekitar daerah ini mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan bagi norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1128