WARISAN Tidak Akan Berdiam Dengan Tekanan Politik Lawan – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan terus berjuang menentang tekanan-tekanan politik yang digunakan pihak lawan bagi melemahkan kedudukan parti itu di Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, apa juga tekanan digunakan tidak akan membolehkan Warisan duduk diam tanpa menentang mereka.

Ketua Menteri Sabah ini berkata, beliau akan bersuara di Parlimen. Tindakan menggunakan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melemahkan kedudukan Warisan tidak akan membuatkan parti ini goyah.

Beliau tidak menyangka 46 kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman boleh digugurkan begitu sahaja.

Jika dilihat bagaimana kes rasuah melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah yang wang dijumpai di pejabat, kereta dan rumah namun, menteri berkaitan iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tidak disoal-siasat dan direman.

Katanya, bila tekanan diberikan sehingga kes SPRM dibuka, ini semua bukannya satu kebetulan apabila melihat perkara yang sedang berlaku.

Dalam cubaan menawarkan jawatan dan memberi imbuhan kewangan bagi menarik Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan Sabah, Mohd Shafie berharap agensi seperti SPRM akan mengambil tindakan kerana keadaan ini melibatkan unsur penawaran jawatan dan kewangan.

Langkah ini semata-mata untuk menarik lebih ramai MP menyokong gabungan mereka (Perikatan Nasional (PN).

“Ini adalah tekanan yang sebenar yang cuba menggugat integriti dengan perbuatan rasuah. Bagaimana mereka rasuah orang untuk mendapatkan sokongan.

“Perbuatan sebegini tidak akan dibenarkan dalam mentadbir sebuah negara,” jelasnya.

Di peringkat negeri Sabah, Mohd Shafie berkata, beliau yang melantik ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam Kabinet dan bukan mereka yang minta jawatan.

Beliau berkata, tekanan demi tekanan akan dilakukan supaya wakil rakyat Warisan-UPKO-Pakatan Harapan (PH) beralih sokongan kepada PN.

Namun, beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1109