KOTA KINABALU: Pertemuan bersama semua Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan-PH-UPKO hari ini jelas menafikan desas-desus menyatakan keadaan politik Sabah sedang goyah susulan beberapa wakil rakyat dikatakan akan melompat parti.
Kehadiran hampir keseluruhan MP dan ADUN Parti Warisan Sabah (Warisan), Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam pertemuan bersama wakil rakyat Sabah hari ini jelas menunjukkan semua wakil rakyat berdiri teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Presiden Warisan ini berkata, biarpun ada khabar angin menyatakan ada MP dan ADUN kerajaan akan melompat bagi menyokong Perikatan Nasional (PN) namun, kehadiran mereka hari ini jelas menafikan dakwaan sedemikian.
“ADUN dan MP kita masih kuat, kental dan pendirian mereka teguh. Seperti saya nyatakan wakil rakyat yang hadir pada hari ini mempunyai maruah dan martabat serta nilai perjuangan yang tinggi.
“Kita masih kuat dalam pemerintahan hari ini. Kita bersatu dalam menyatakan pendirian kita. Inilah masanya untuk kita di Sabah berdiri teguh demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Kita kena ada pendirian yang teguh untuk memperjuangkan nasib anal-anak dan negeri Sabah,” katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan bersama Ahli Parlimen dan ADUN Warisan-PH-UPKO.
Mengenai cubaan membeli MP dan ADUN parti dalam kerajaan Sabah, Mohd Shafie berkata, terdapat cubaan membeli beberapa MP dan ADUN mereka namun, beliau yakin semua wakil rakyat kerajaan mempunyai jiwa yang kental untuk berdiri teguh bersama Warisan.
Katanya, MP Silam Datuk Mohammadin Ketapi antara yang dihubungi oleh bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman sebanyak tiga kali. MP lain termasuk MP Kalabakan Ma’mun Sulaiman serta beberapa ADUN.
“Saya tidak mahu menanya mereka satu persatu. Jika saya hubungi dan tanya mereka seolah-olah saya mengesyaki mereka.
“Namun, saya yakin dengan pendirian mereka. Bila kita berdiri teguh, akan ada tekanan yang cuba menggugat kita. Maka, kita tidak akan terkejut jika mereka (pembangkang) akan menggunakan pelbagai cara untuk melemahkan semangat kita,” jelasnya.
Mohd Shafie berkata, beliau yakin tekanan yang diberikan itu akan dapat ditangani.
Kini, Warisan berdepan tekanan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony.
Katanya, dalam perjuangan sudah banyak cabaran dan rintangan yang dilalui maka, beliau yakin semua wakil rakyat kerajaan akan bersatu teguh walau apa juga tekanan yang dihadapi.
Dalam pertemuan itu, beliau berkata, tidak ramai MP dan ADUN yang tidak hadir. Namun, mereka tidak hadir atas urusan kerja dan peribadi dan telah memaklumkan kepadanya.
Lima wakil rakyat yang tidak hadir adalah MP Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman, MP Silam Datuk Mohamaddin Ketapi, ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury, ADUN Sugut Datuk James Ratib dan ADUN Elopura Calving Chong.- BorneoToday
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost