Ada Cubaan ‘Beli’ Wakil Rakyat Kerajaan Sabah – Shafie

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie berkata semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen daripada parti yang membentuk kerajaan negeri telah menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau berkata pelbagai dakwaan yang menyatakan kerajaan Sabah kini sedang bergoncang disebabkan ada wakil rakyat yang beralih akan sokongan kepada pembangkang adalah tidak benar sama sekali.

“Memang ada cubaan untuk ‘membeli’ wakil rakyat dalam kerajaan gabungan Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan (PH), namun saya telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan wakil rakyat berkenaan tetap setia bersama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berjumpa dengan ADUN dan Anggota Parlimen di bawah kerajaan Sabah di sini, hari ini.

Perjumpaan bermula pada jam 12 tengah hari tadi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negerib itu berlangsung selama hampir dua jam dengan dihadiri oleh 40 daripada 43 ADUN dan lapan daripada 10 Ahli Parlimen daripada Warisan, UPKO, DAP dan PKR.

Antara turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong yang juga naib presiden Warisan; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau merangkap presiden UPKO; Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew selaku pengerusi PKR Sabah dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung yang juga pengerusi DAP Sabah.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata berkata perjumpaan berkenaan diadakan bagi membincangkan senario politik ketika ini, selain memberi gambaran jelas terhadap hala tuju serta pendirian politik setiap wakil rakyat parti terbabit.

Ketika ditanya berhubung ketidakhadiran tiga ADUN dan dua ahli Parlimen pada perjumpaan itu, Mohd Shafie berkata, mereka telah memaklumkannya berhubung perkara tersebut, dan dalam masa sama, menyatakan pendirian masing-masing untuk terus teguh bersama perjuangan parti. – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2223