202 Orang Dikuarantin Termasuk Individu Yang Masuk Ke Tawau Secara Haram

TAWAU: Seramai 202 orang masih dikuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau sehingga hari ini

Jumlah itu termasuk individu yang masuk ke daerah ini dari negara jiran secara haram menerusi jalan tikus.

Penyelia Pusat Kuarantin IPG Tawau, Kapten (APM) Hussien Mohd Nor berkata, semua mereka masih menjalani tempoh kuarantin secara berperingkat.

Hussien Mohd Nor

“Mereka akan dikeluarkan dari pusat kuarantin ini sebaik saja mendapat kebenaran atau pengesahan dari Pejabat Kesihatan Tawau bahawa keputusan ujian saringan Covid-19 negatif.

“Begitu juga dengan Hotel Marco Polo yang masih menempatkan beberapa individu berkaitan,” katanya, hari ini.

Menurut Hussien, pusat kuarantin akan terus beroperasi sehingga mendapat arahan dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tawau.

“Walaupun secara amnya kerajaan memutuskan untuk tidak mengenakan kuaratin ke atas mereka yang masuk ke Sabah selepas ini, namun, ia tidak bermakna pusat kuarantin ditutup serta-merta,” katanya.

Terdahulu IPG Kampus Tawau menempatkan individu yang disiasat (PUI) bagi kes Covid-19 termasuk kumpulan tabligh, pelajar universiti dan sebagainya.

Selain Tawau, IPG Kampus Tawau turut dijadikan pusat kuarantin bagi beberapa daerah lain seperti Lahad Datu, Kunak dan Semporna sebelum diserahkan kepada PKOB masing-masing bagi tujuan kuarantin.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *