MAKASSAR: Penduduk Desa Belo di Soppeng gempar selepas menemui keranda hanyut di Sungai Belo, kelmarin.
Portal Kompas melaporkan Ketua Tindakan Bencana Daerah (BPBD) Soppeng, Shahrani berkata, keranda berwarna merah itu ditemui pada jam 4 petang (waktu tempatan) ketika cuaca hujan.
“Kami menerima maklumat daripada penduduk yang menemui keranda hanyut di dalam sungai.
“Penduduk terkejut kerana menyangka ada mayat di dalam keranda berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kompas, semalam.
Menurut Shahrani, air sungai yang deras menyebabkan penduduk bimbang untuk mengambil keranda itu.
Bagaimanapun, keranda itu tidak terus hanyut apabila tersangkut di longgokan sampah.
“Sebaik menerima laporan, pasukan bergegas ke lokasi dan memindahkan keranda ke tepi sungai.
“Saya tidak benarkan keranda itu dibuka di tempat kejadian kerana tiada hak untuk berbuat demikian dan terus membawanya ke Rumah Sakit (RS) Latemammala Soppeng.
“Setibanya di hospital, keranda itu dibuka dengan disaksikan polis dan askar,” katanya.
Bagaimanapun, tiada apa-apa ditemui di dalam keranda berkenaan.
Difahamkan, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik keranda.
Bagaimanapun, laporan sama tidak menyebut sama ada kebimbangan penduduk mengenai penemuan keranda itu ada kaitan dengan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Indonesia, semalam, sudah merekodkan 26,940 kes positif Covid-19 dengan 1,641 kes kematian.- Agensi
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost