Kebenaran Masuk Ke Sabah Tanpa Kuarantin Tindakan Relevan Kerajaan Negeri

TAWAU: Keputusan kerajaan negeri membenarkan semua perjalanan memasuki Sabah dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan WP Labuan tanpa menjalani kuarantin dengan syarat telah melakukan ujian COVID-19, mendapat reaksi positif penduduk daerah ini.

Mereka berpendapat keputusan itu sangat bertepatan di samping tidak mengambil ringan soal kesihatan mereka yang memasuki negeri ini kerana ujian COVID-19 menjadi syarat utama dalam tindakan itu.

Penuntut universiti Dharizwan Ghazali, 20, berpendapat keputusan membenarkan masuk kepada penjawat awam, pekerja sektor swasta dan warganegara Malaysia termasuk rakyat Sabah merupakan satu tindakan yang relevan dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Hal ini kerana sebahagian besar sektor kerajaan telah beroperasi dan sudah tentu pegawai-pegawai kerajaan yang bercuti atau balik kampung sebelum ini harus kembali bertugas semula.

“Memandangkan pada masa ini, kita berada dalam fasa terakhir dan pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka perkara ini tidak menjejaskan isu pandemik kerana ianya berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu dilihat tidak mengganggu proses memutuskan rantaian wabak yang dilakukan pada masa ini sekaligus tindakan itu mampu meningkatkan sektor ekonomi.

“Pendekatan itu juga merupakan salah satu langkah proaktif demi meningkatkan sektor ekonomi negara yang sudah terjejas sejak awal PKP dilaksanakan lagi,” katanya.

Pendapat itu turut disetujui oleh Norhayati Tangnga, 45, yang beranggapan keputusan kerajaan itu membolehkan semua mereka yang jauh dan terkandas sebelum ini dapat pulang semula.

Katanya, kelonggaran yang diberikan itu memberikan harapan kepada keluarga yang sudah lama terkandas dan berjauhan disebabkan pelaksanaan PKP.

“Kita sering mendengar sejak PKP ada keluarga yang terpaksa berjauhan kerana tidak dapat kebenaran pulang disebabkan kemasukan ke Sabah telah dihadkan oleh pihak kerajaan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu juga mengurangkan rungutan rakyat kerana mereka yang dihantar pulang dari luar Sabah sebelum ini terpaksa dikuarantin di pusat kuarantin walaupun tiada simptom positif COVID-19.

“Sebelum ini semua yang tiba ke Sabah wajib dikuarantin 14 hari terlebih dulu walaupun sudah menjalankan saringan COVID-19 dan kerajaan juga terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai kos mereka yang dikuarantin,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

963