Buang Bayi Baru Lahir Demi Lelaki Idaman

Gambar Hiasan

PONTIANAK: Demi menikahi lelaki idaman, seorang gadis berusia 18 tahun tergamak membuang bayi yang baru dilahirkannya ke dalam parit.

Portal Kompas melaporkan, perbuatan wanita itu bagaimanapun terbongkar selepas mayat bayi berkenaan ditemui penduduk kampung, pada Jumaat lalu.

Perkara itu didedahkan Polis Suhaid, Daiyan ketika dihubungi pemberita Kompas, semalam.

“Remaja itu sengaja membuang dan melakukan kekerasan terhadap bayi yang baru saja dilahirkan untuk menutup kehamilannya selama ini,” katanya.

Difahamkan, remaja itu dipercayai menjalin hubungan dengan seorang lelaki hingga dirinya hamil tujuh bulan.

Selepas itu, dia menjalin pula hubungan dengan lelaki lain, dua bulan lalu.

Lelaki kedua itu yang serius dengan hubungan mereka mengajak gadis itu berkahwin tanpa mengetahui si gadis sebenarnya sudah ‘berbadan dua’.

Dia dan lelaki idamannya itu akhirnya disatukan menerusi majlis pernikahan.

Selesai majlis pernikahan, suami membawa isterinya itu ke rumahnya pada 24 Mei lalu.

Bagaimanapun, ketika di bilik mandi, gadis itu melahirkan bayi berkenaan yang tidak cukup bulan sebelum membuangnya.

Ia bagi mengelak daripada kehamilan itu diketahui oleh suaminya.

Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1327