Hanya Orang Tempatan Diberikan Lesen Berniaga Di Penampang

Salah satu peniaga di Penampang yang didapati warga asing dan tidak memiliki permit yang sah.

PENAMPANG: Pejabat Daerah Penampang mengambil pendekatan lebih tegas dalam mengeluarkan lesen kedai runcit berikutan kebanjiran peniaga warga asing di daerah ini.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking, Pritchard Gumbaris berkata, permohonan yang dihantar ke pejabat daerah akan melalui penyaringan di peringkat pejabat parlimen penampang sebelum diserahkan kepada pejabat daerah untuk proses selanjutnya.

Jelasnya, Pegawai Daerah Penampang, Henry Idol telah mendapat persetujuan daripada pihak Pejabat Parlimen Penampang untuk menjalankan proses penyaringan yang akan dibantu oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Moyog dan Kepayan termasuklah ketua kampung.

PRITCHARD GUMBARIS

Pritchard berkata, dalam proses saringan itu, mesyuarat akan diadakan yang melibatkan pegawai pejabat Parlimen penampang, UPPM Moyog dan Kepayan termasuk ketua kampung.

“Kami peka dengan keluhan masyarakat tempatan tentang isu kebanjiran peniaga warga asing tanpa permit yang sah dan ianya memerlukan kehendakan politik untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan tegas dan cepat walaupun ada yang mengatakan proses ini akan meningkatkan sedikit birokrasi namun usaha yang dijalankan setakat ini berjaya mengurangkan perniagaan kedai runcit kecil warga asing yang tidak ada permit di setiap kampung – kampung.

“Setiap kedai runcit kecil tersebut akan dilawati oleh pegawai dari pejabat parlimen penampang bersama – sama dengan pegawai dari pejabat UPPM untuk memastikan kedai runcit kecil tersebut diusahakan oleh warga tempatan.

“Setiap mesyuarat akan direkod termasuklah kaedah pengrekodan mengunakan video untuk memastikan ketelusan dalam proses penyaringan”,katanya.

CLARE

Menurut Pritchard, pendekatan tegas ini diambil kerana wujud keluhan masyarakat kampung dan tempatan mengenai kewujudan kedai-kedai runcit yang sebelum ini diusahakan oleh warga asing tanpa memiliki permit kerja yang sah.

Tegas beliau, berdasarkan _Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bilangan 3 Tahun 2008,_  _Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) artikel 3 fasal (v),_ _permit hendaklah dikeluarkan kepada warga negara_ _Malaysia sahaja dan pemilik permit hendaklah berada di tempat berniaga sepanjang masa.Tindakan membatalkan permit tersebut wajar diambil ke atas warga negara Malaysia yang memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing atau tidak menjalankan sendiri perniagaan tersebut_

Sementara itu, Ketua Kampung Hubah, Clare John Bosuin berkata, kaedah pemprosesan permohonan kedai runcit kecil telah banyak menolong ketua kampung dalam menangani isu berkaitan kebanjiran kedai runcit kecil yang sebelum ini diusahakan oleh warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Clare berkata, pendekatan tersebut sekali gus memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk berkecimpung dalam perniagaan kedai runcit kecil.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *