Mayat Terakhir Tiga Beradik Ditemui

Ahli Keluarga mangsa tidak mendapat menahan kesedihan.

Operasi mencari dan menyelamat tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, petang semalam berakhir dalam tempoh 24 jam apabila ketiga-tiga mangsa ditemui hari ini.

Mayat ketiga-tiga mangsa, Umar Iskandar Mohd, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, ditemui antara jam 9.50 pagi hingga 12.40 tengah hari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Hilman Abdul Rashid berkata, pihaknya memulakan operasi sebaik menerima laporan kejadian jam 6.30 petang semalam.

“Operasi yang disertai seramai 85 anggota membabitkan polis, bomba, APM, Unit Pengesan Anjing (K9) dan Rela mengambil masa selama 18 jam sebelum kesemua mangsa ditemui.

“Semua mangsa ditemui pada jarak antara 50 meter antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Katanya, penemuan mangsa adalah hasil bantuan unit pengesan anjing (K9) sebelum Pasukan Penyelamat Di Air melakukan selaman.

Md Hilman berkata, sejak Januari hingga kini, sebanyak 13 kes lemas direkodkan di seluruh negeri ini termasuk kes membabitkan tiga beradik terbabit. – HMEtro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1364