Kerajaan Negeri Bukan Punca Kedatangan PATI Ke Sabah

Datuk Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menempelak kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey G Kitingan baru-baru ini yang mengatakan kerajaan Sabah menjadi punca kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Loretto Padua pada kenyataan semalam berkata, Jeffrey mempolitikkan isu ini sehingga mengatakan bahawa polisi kerajaan negeri yang mesra warga asing menyebabkan masalah ini berlaku.

“Kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dan tidak pernah lepas tangan dengan masalah kemasukan pendatang asing secara haram ke Sabah.

“Apa yang ingin diselesaikan oleh kerajaan negeri membabitkan pendatang asing yang sudah berada di sini sejak berpuluh tahun lalu dan masalah kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Kenyataan dia (Jeffrey) mengelirukan rakyat seolah-olah warga Filipina, Indonesia dan mungkin Rohingya akan bebas masuk ke Sabah disebabkan oleh polisi kerajaan,” katanya.

Menurut Loretto, sebelum WARISAN mengambil alih kerajaan negeri, masalah pendatang asing di Sabah gagal diselesaikan oleh kerajaan terdahulu, termasuklah Jeffrey yang pernah berada dalam kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS), semasa pemerintahannya.

“Jeffrey dalam hal ini gagal untuk memahami isu sebenar masalah pendatang asing.

“Melalui kawalan ketat pihak berkuasa di sempadan perairan Sabah, saya yakin tidak semudah dulu sempadan kita boleh dibolosi oleh pendatang asing,” katanya.

Loretto menegaskan, antara masalah utama yang dihadapi kerajaan negeri adalah anak-anak pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen.

“Masalah ini amat serius kerana kerajaan Filipina sendiri tidak mahu mengiktiraf kanak-kanak terbabit sebagai warga negara mereka.

“Selain itu, ada dalam kalangan mereka memiliki dokumen yang kesahihannya amat meragukan,” katanya. – Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *