(VIDEO) Lelaki Positif Covid-19 Peluk Jiran Rakam Aksinya

Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 memeluk jirannya.

Jakarta: Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 ‘buat perangai’ apabila enggan dibawa ke hospital dan bertindak memeluk jirannya dengan niat menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Lelaki berusia 40 tahun itu yang dikenali sebagai AR bertindak agresif apabila sepasukan kakitangan perubatan lengkap dengan sut hazmat tiba di rumahnya di Empangsari, Tasikmalaya, Jawa Barat.

Dia juga naik angin selepas aksi agresifnya itu dirakam jirannya menggunakan telefon pintar masing-masing.

Melihatkan aksinya dirakam, dia kemudian berlari dan mengejar mereka serta memeluk seorang daripada jirannya dengan niat agar virus berkenaan turut menjangkiti jirannya itu.

“Apa yang kamu lihat? Aku akan peluk kamu semua dan selepas ini kamu juga akan diawasi (pasukan perubatan),” katanya.

Namun, pasukan perubatan berjaya memujuk dan membawanya ke hospital untuk dikuarantin.

Timbalan Datuk Bandar Tasikmalaya, Muhammad Yusuf mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan bahawa pasukan perubatan terpaksa menjemput pesakit berkenaan di rumahnya kerana dia enggan mengasingkan diri sendiri.

“Saya yang mengarahkan pasukan perubatan mengambilnya di rumah. Jika tidak ia akan membahayakan penduduk di kawasan itu,” katanya.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *