Speaker Tolak Permohonan Usul Percaya Shafie Apdal Terhadap Dr M

PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof menolak permohonan yang dikatakan daripada Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal memohon izin membawa usul dan mengemukakan resolusi terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Surat yang dikatakan dari Shafie itu mahu mencadangkan usul mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi, mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam surat yang dilihat FMT, Ariff berkata usul itu tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia “mempertikai kuasa Agong dalam urusan pelantikan jawatan perdana menteri”.

“Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul ini dibawa ke dalam majlis mesyuarat,” katanya.

Terdahulu, Shafie mengelak pertanyaan mengenai tangkap layar surat, dikatakan daripadanya, memohon izin membawa usul dan mengemukakan resolusi bahawa Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Gambar surat kepada Ariff bertarikh 1 Mei itu tersebar di media sosial.

“Kita tunggu apabila tiba masanya,” kata Shafie kepada pemberita di Beluran hari ini.

Seorang pembantu Shafie kemudian memberitahu FMT: “Setahu saya, ketua menteri tidak mengesahkan surat itu.”

Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri pada 24 Feb semasa krisis politik yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 1 hari pada 18 Mei ini.

Terdahulu, FMT melaporkan Mahathir baru-baru ini memohon Ariff mengizinkan beliau membawa usul dan mengemukakan resolusi terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Dalam surat yang dilihat FMT, Mahathir mahu mencadangkan usul mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin, yang juga ahli Parlimen Pagoh, tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *