Shafie Apdal Sahkan Surat Usul Percaya Ke Atas Tun M

BELURAN: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan mengenai surat yang tular mengenai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun Ketua Menteri Sabah itu yang ditanya ketika sidang media selepas lawatan di Kilang Beras Terusan Sapi, Beluran bagimanapun hanya mengulas ringkas.

“Kita tunggu lah bila sampai masanya… itu sidang dewan dan ini lawatan (Kilang Beras) Terusan Sapi.

“Ya, ya kita melihatnya (surat),” katanya.Beliau ditanya pemberita susulan satu surat yang dari Pejabat Parlimen Semporna tentang resolusi akan dibangkitkan di Dewan Rakyat majoriti ahli dewan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dipercayai menandatangani surat tersebut.

Surat bertarikh 1 Mei 2020 itu dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang memohon meminta izin membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Tun Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai surat tersebut.

Kata beliau, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada Jumaat (8 Mei 2020). – Astro Awani

1941