7 Sekeluarga Antara Ditahan Terbabit Dadah

Polis menahan individu disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dalam Op Sarang dan Op Covid-19.

KOTA KINABALU: Tujuh sekeluarga antara 31 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Op Sarang dan Op Covid-19 di sekitar daerah ini.

Operasi dan serbuan itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang bermula 25 April hingga 1 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tujuh individu yang ditahan di sebuah rumah di daerah ini adalah sebuah keluarga.

Pasukan polis menahan individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini melalui Op Sarang dan Op Covid-19

“Hasil serbuan itu, anggota polis turut menemui satu paket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 50.48 gram di dalam sebuah rumah.

“Semua mereka yang berusia 12 hingga 31 tahun disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dan penjualan dadah di sekitar daerah ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Habibi berkata, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bagi sembilan lagi individu ditahan membabitkan kes bekalan dan pengedaran dadah.

“Hasil siasatan mendapati semua mereka ini tidak mempunyai pekerjaan yang tetap,” katanya.

Tambahnya, dua lagi individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.

“Selain itu, 10 individu lain ditahan bagi kesalahan memiliki dadah dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) ABD dan 12 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ABD 1952 kerana hasil ujian urin didapati positif dadah.

“Berdasarkan hasil siasatan, 24 adalah warga tempatan manakala selebihnya adalah warga asing berusia 12 hingga 58 tahun,” katanya.

Individu yang diperiksa oleh pasukan polis ketika menjalankan Op Sarang dan Op Covid-19 di Kota Kinabalu.

Mengenai jumlah rampasan dadah dalam tempoh itu, beliau berkata, keseluruhan rampasan sebanyak 74.85 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM11,227 berdasarkan harga dadah semasa.

“Operasi dan serbuan yang dijalankan adalah usaha Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu dalam memantau, mengesan dan mengekang segala aktiviti penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini.

“Bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, usaha sama daripada orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu melalui talian 088-529220,” katanya.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *