Dua Lelaki Ditahan Bersama RM1.65 Juta Rokok Seludup

Rokok-rokok seludup yang berjaya dirampas oleh pihak polis.

SANDAKAN: Beri alasan kunci pintu tertinggal demi mengelak lori kontena yang membawa muatan kira-kira dua juta batang rokok seludup ditahan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, dekat Beluran, semalam.

Bagaimanapun, usaha dua suspek berusia 34 dan 38 tahun itu sia-sia apabila ditahan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan yang bertugas di RCP itu kira-kira pukul 10 malam.

Pada mulanya, lori terbabit yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu dan ketika tiba di pusat itu, lelaki terbabit mengemukakan dokumen mencurigakan dan enggan memberi kerjasama apabila diminta membuka pintu kontena.

Rokok-rokok seludup yang berjaya dirampas oleh pihak polis.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat, berkata pemandu lori terbabit sebaliknya memberi alasan kunci pintu kontena tertinggal di Sandakan sambil mendakwa pemilik kontena akan datang ke lokasi itu membawa kunci.

Beberapa jam selepas itu, katanya, seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengaku sebagai pemilik kontena datang ke lokasi terbabit, namun enggan memberi kerjasama dan membuka kontena untuk diperiksa.

“Tidak lama selepas itu barulah suspek mengaku bahawa kontena itu membawa muatan rokok sebelum ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Kontena itu hanya dibuka sebaik tiba di IPD Beluran dan didapati ia berisi pelbagai jenis rokok tidak bercukai. Anggaran keseluruhan rampasan termasuk lori adalah RM1.65 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Toipi berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek juga akan didakwa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kes disiasat mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020. – BorneoToday

1371