Bunuh Anak Tiri, Mayat Ditemui Tanpa Kepala

Mangsa dibunuh oleh ibu tirinya.

SULAWESI: Terlampau cemburu dan dendam menyebabkan seorang wanita di Indonesia tergamak membunuh anak tirinya.

Wanita berkenaan mengaku membunuh kanak-kanak lelaki berusia lima tahun akibat cemburu kerana suaminya terlalu sayangkan anak tirinya itu.

Sedangkan wanita berkenaan kerap dimarahi lelaki itu dengan kata-kata kesat.

Polis menemui mayat mangsa di saluran terusan air di Sidrap. – Foto Agensi

Portal Kompas melaporkan mayat mangsa ditemui tanpa kepala di saluran terusan air utama di Sidrap, Sulawei Selatan, Khamis lalu.

Ketua Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Pinrang, Dharma Perwira mengesahkan, mayat berkenaan adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang, sejak 20 April lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu dibunuh ibu tirinya sendiri.

Dia menculik mangsa dan membawa kanak-kanak itu dari Pinrang ke Sidrap menggunakan motosikal suaminya.

“Dia tergamak membunuh anak tirinya kerana cemburu melihat suaminya sangat sayangkan mangsa selain itu dia berdendam dengan suaminya yang kerap memarahinya dan memanggilnya ‘perempuan sial’.

Suspek membunuh anak tiri berjaya ditangkap di Sidrap, Sulawesi Selatan. Foto Agensi

“Suspek mendukung mangsa ketika kanak-kanak itu masih tidur sebelum menolaknya ke dalam sungai dan dibiarkan lemas,” katanya.

Katanya, suspek ditahan dan diserahkan ke Polis Sidrap untuk tindakan selanjutnya. – Agensi

1383