PKPB: Sabah Kurangkan Sekatan Jalan Raya Jika Perlu

Habibi Majinji

KOTA KINABALU: Sekatan jalan raya di Kota Kinabalu akan dikurangkan bergantung kepada keadaan semasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, perlaksanaan itu akan dilihat kembali pada 4 Mei depan berdasarkan syarat yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Buat masa ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melaksanakan enam sekatan jalan raya di lokasi yang ditetapkan dan jumlah ini mungkin akan dikurangkan berdasarkan kepada situasi pergerakan orang awam sebaik PKPB dilaksanakan 4 Mei depan.

“Jika keadaan stabil serta dalam keadaan yang terkawal kita akan mengurangkan kepada lima sekatan sahaja. Pengurangan sekatan yang dilihat tidak diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan sekatan jalan raya di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu, petang hari ini.

Sementara itu, Habibi berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap premis yang dibenarkan beroperasi termasuk restoran pada minggu depan.

“Pemeriksaan ditumpukan pada premis serta restoran ala pusat hiburan, walaupun pada dasarnya ia beroperasi menggunakan konsep restoran tetapi kita tidak membenarkan premis yang berbentuk pusat hiburan untuk beroperasi berikutan risiko yang dihadapi.

“Jika ada maklumat berkenaan pembukaan restoran berkonsepkan pusat hiburan, kita akan mengarahkan pemilik premis untuk menutupnya serta merta,” katanya.- HMetro

2491