COVID-19: Brazil Melepasi 5,000 Kematian

Perkhidmatan pengurusan jenazah di Manaus, Brazil mendapat permintaan tinggi dan pihak berkuasa tempatan turut memberi amaran kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan keranda berikutan peningkatan kematian akibat COVID-19. – Foto AFP

BRASILIA: Brazil, negara di Amerika Selatan paling teruk dilanda pandemik COVID-19, merekodkan lebih 5,000 kematian, umum Kementerian Kesihatan pada Selasa.

Dalam tempoh 24 jam, sebanyak 474 kematian dilaporkan dengan jumlah keseluruhan meningkat kepada 71,886 kes.

Kementerian itu juga melaporkan, keseluruhan kes kematian di negara terbesar Amerika Selatan itu melebihi angka di China, pusat pandemik itu muncul sebelum tersebar ke serata dunia.

Presiden, Jair Bolsonaro berulang kali menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan tindakan sekatan yang diambil gabenor setiap negeri dalam usaha memperlahankan penularan wabak itu, sebaliknya hanya mahu usaha memulihkan ekonomi diadakan semula.

Menteri Kesihatan yang baharu, Nelson Teich, yang mengambil alih jawatan awal bulan ini, pula menjelaskan masih terlalu awal untuk mengaitkan jumlah kematian dengan lonjakatan jangkitan COVID-19 walaupun minggu lalu merekodkan 3,000 kematian.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah keputusan daripada peningkatan hasil daripada ujian saringan yang diadakan.

Sao Paulo, negeri yang paling parah dengan satu pertiga daripada jumlah kes negara itu bagaimanapun merancang untuk secara beransur-ansur meneruskan aktiviti ekonomi mengikut sektor demi sektor mulai 11 Mei ini.

Begitu juga negeri lain, Rio de Janeiro dan Minas Gerais juga sedang menyiapkan langkah yang sama.

Sementara itu, Brasilia dan Santa Catarina sudah membuka semula aktiviti ekonomi masing-masing. – AFP

595