Kuarantin Dengan ‘Hantu’

Sukarelawan memantau individu yang diarah menghabiskan tempoh kuarantin di sebuah rumah terbiar di kampung di Sepat, Srangen. Gambar AFP

JAKARTA: Bosan dengan individu yang ingkar perintah kuarantin, seorang ahli politik di Sragen, Jawa Tengah, Indonesia memutuskan untuk menghukum individu terbabit dengan meletakkan mereka di rumah terbiar yang didakwa ‘berhantu’.

Untung Yuni Sukowati berkata, pihaknya mengambil pendekatan itu selepas mendapati kemasukan orang ramai secara besar-besaran ke Sragen selepas Jakarta dan kota-kota besar lain ditutup.

Beliau berkata, banyak individu yang baru tiba itu tidak mengikuti arahan supaya menjalani kuarantin selama 14 hari bagi mengelak penularan wabak itu ke seluruh Pulau Jawa yang padat dengan penduduk itu.

Sehubungan itu, Sukowati mengarahkan rumah-rumah terbiar yang dikatakan ‘berhantu’ dijadikan tempat untuk menahan individu berkenaan.

Setakat, lima individu sudah dikenakan hukuman berkenaan.

“Kalau ada rumah kosong dan berhantu di kampung anda, tangkap mereka yang ingkar perintah kuarantin dan masukkan mereka ke situ,” kata Sukowati kepada AFP.

Pegawai kerajaan di sebuah kampung di Sepat, Srengan memilih untuk meletakkan individu degil itu di sebuah rumah yang lama tidak berpenghuni.

Sebagai langkah keselamatan, mereka diletakkan di ruangan berasingan dengan katil yang diasingkan dengan langsir.

Setakat ini, tiga individu yang baru tiba di kampung itu sudah menerima hukuman untuk menghabiskan baki tempoh kuarantin 14 hari mereka di rumah berkenaan.

Antara yang menerima hukuman itu ialah Heri Susanto.

“Setakat ini saya belum terserempak dengan apa-apa.

“Tetapi kalau terjumpa, tak boleh buat apa-apa,” kata Susanto, yang berasal dari Sumatera.

“Saya sedar ini adalah untuk menjaga keselamatan orang ramai. Ini pengajaran untuk saya.” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *