Tengah Luah Masalah Percintaan, Polis Tahan Dua Remaja Di Beaufort

Lelaki bersama rakan wanitanya ditahan polis kerana berada di kawasan lorong di tepi sebuah bank di Beaufort Jaya, tanpa alasan munasabah.

BEAUFORT: Luahan masalah percintaannya kepada rakan perempuan mengundang padah apabila mereka ditahan polis di lorong tepi sebuah bank, Beaufort Jaya, di Beaufort, malam tadi.

Harian Metro difahamkan, lelaki berusia 18 tahun itu menemui remaja perempuan berusia 19 tahun untuk mengadu mengenai hubungan percintaan dengan teman wanitanya yang sedang bergolak.

Bagaimanapun, mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikesan pihak berkuasa yang melakukan rondaan sebelum ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, 7.20 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, polis yang melakukan rondaan membuat pemeriksaan ke atas pasangan lelaki dan wanita yang sedang bersembang di lorong berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu sedang meluah perasaan mengenai masalah cinta antara dia dengan teman wanitanya kepada rakannya yang juga teman kepada kekasihnya di lorong tepi bank berkenaan.

“Remaja perempuan (yang ditahan) pula adalah rakan sekerja kepada teman wanita lelaki terbabit. Kedua-dua mereka ditahan kerana gagal memberi alasan yang munasabah berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek mengetahui PKP dan faham akan implikasi serta kesan sekiranya ingkar dengan perintah berkenaan.

“Dalam pengetahuan mereka, larangan itu masih berkuatkuasa tetapi masih keluar rumah dan berada dalam sesuatu kawasan tanpa alasan munasabah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *